Pentas Hidup: Raja Ilya Berlakon Filem Bollywood Selepas Appalam

Raja Ilya Berlakon Filem Bollywood Selepas Appalam

Raja Ilya Berlakon Filem Bollywood Selepas Appalam!

Foto oleh Mazlan Fotografi

KUALA LUMPUR, 18 NOV 2010: Mungkin ramai di kalangan kita masih belum mengenali pelakon Raja Ilya atau nama sebenarnya Raja Ramilah Raja Muhammad, 25, namun percaya atau tidak, nama gadis berdarahMmelayu ini sudah lama meniti di bibir-bibir peminat drama tempatan Tamil.

Malah, filem tempatan Tamil, Appalam juga secara tidak langsung telah menaikkan namanya setanding dengan pelakon-pelakon Tamil yang lain apabila turut menjadi salah seorang peneraju utama filem tersebut. Selain mempunyai kelebihan bertutur dalam bahasa Tamil, wajah yang dimiliki oleh anak mami ini juga disifatkan cantik seperti bintang Bollywood.

Justeru, tidak hairanlah jika dia kini telah menerima tawaran berlakon daripada seorang produser filem Bollywood sejak Mei yang lalu.

"Alhamdulilah dengan kelebihan yang saya ada dalam memahami bahasa Tamil ditambah dengan kelas bahasa Tamil yang saya ambil setiap minggu, ia setidak-tidaknya telah membantu untuk membuka ruang yang lebih untuk saya membintangi drama dan filem Tamil tempatan.

" Apa yang lebih menggembirakan lagi, saya telah pun menerima tawaran berlakon dari seorang pengarah bollywood bernama Bobby Khan untuk membintangi filemnya yang bertajuk Love Is Blind. Dalam filem ini saya akan digandingkan dengan pelakon yang sedang popular di India, Ravi Kishen.

"Buat masa sekarang saya masih lagi belum ada tarikh yang tetapbila pengambaran itu akan dimulakan tapi dijangka ia akan bermula pada akhir tahun ini juga," jelasnya ketika ditemui sejurus selepas berakhirnya tayangan preview filem Appalam di State PJ Cinema, Lotus Five Star, Petaling Jaya kelmarin.

Walaupun sudah menimba banyak pengalaman berlakon dalam drama tempatan Tamil, namun Ilya mengakui masih berdepan dengan kesukaran untuk berlakon dalam filem Appalam.

"Tipulah kalau saya kata tak susah, saya sebenarnya bukanlah seorang yang lancar dalam berbahasa Tamil. Memang saya banyak faham bahasa Tamil tapi untuk bercakap ada sedikit kesukaran dan saya banyak dibantu oleh pengarah untuk membetulkan sebutan.

"Apatah lagi, dalam bahasa Tamil jika sebutannya tersalah sedikit ia akan menjadi makna yang lain dan perkara ini telah membuatkan saya takut dan lebih berhati-hati dalam penggunaan bahasa Tamil.

"Selain bahasa, setap kali saya berlakon dalam drama atau filem Tamil saya memerlukan emosi dan ekspresi yang lebih berbanding drama Melayu. Jika tidak mesej yang hendak disampaikan itu mungkin kurang dapat dirasai oleh penonton Tamil," jelasnya yang pernah membintangi drama seram TV3, Kekasihku Seru.

Dalam filem Appalam, Raja Ilya memegang watak Shruthi iaitu watak yang sama dipegang oleh Liyana Jasmay dalam filem Papadom. Dia menjadi anak tunggal kesayangan bapanya, Appalasamy yang dilakonkan oleh Gana Pragasam. Filem Appalam arahan Afdlin Shauki ini akan mula berada di pawagam seluruh Malaysia pada 25 November 2010.

Followers