Pentas Hidup: Filem Adnan Sempit Raih RM7.5 Juta

Filem Adnan Sempit Raih RM7.5 Juta

KUALA LUMPUR, 23 JANUARI 2010: Filem Adnan Sempit arahan Ahmad Idham kini mencatat kutipan berjumlah RM7.5 selepas 5 minggu ditayangkan di pawagam. Angka tersebut sudah mengatasi kutipan keseluruhan filem Jangan Pandang Belakang sebanyak RM6.5 juta yang juga arahan serta terbitan Ahmad Idham.

Penerbit MIG Production Sdn Bhd, David Teo, ketika dihubungi berkata, ia adalah satu rekod baru yang dicatat oleh syarikatnya. Beliau turut mengucapkan tahniah kepada seluruh pasukan produksi yang telah bekerja keras menghasilkan produk yang terbaik.

"Saya ingin berterima kasih kepada semua penonton yang telah memberikan sokongan kepada filem ini. Ia memberikan semangat kepada kami untuk terus berkarya dan memberikan yang terbaik kepada semua peminat.

"Kejayaan baru ini sangat berharga bagi suluruh keluarga produksi termasuk pelakon, pengarah dan juga krew. Saya yakin ia adalah tuah pada tahun baru cina ini. Rezeki tu muncul dimana-mana sekiranya kita bekerja secara ikhlas. Saya buat filem bukan untuk menang anugerah, tetapi untuk buat duit.

"Awalnya kami mengagak filem ini hanya untuk tatapan golongan remaja dan Mat Motor sahaja. Tetapi yang jelas, ramai telah membawa seisi keluarga menonton filem ini dan akui sangat terhibur. Malah golongan Mat Motor sendiri telah berulang kali pergi menonton kerana jalan cerita dan lakonannya begitu menarik dan melucukan," kata David kepada murai.com.my.

Filem lakonan Saheizy Sam, Intan Ladyana, Along Raja Lawak dan Cat Farish itu mengisahkan percintaan antara Mat Motor dengan gadis korporat. Pelbagai insiden menarik berlaku dalam percintaan mereka sepanjang jalan cerita.

Shaheizy Sam atau lebih mesra dengan panggilan Sam, pertama kali diangkat sebagai pelakon utama. Sememangnya bakat dan pakej yang dimiliki Sam merupakan kelebihan terbaik buatnya memancing penonton.

Selain barisan pelakon dan konsep cerita yang menarik, kejayaan filem tersebut turut dibantu dengan promosi hebat yang tidak putus-putus.

Pada Majlis Bertemu Bintang yang diadakan di pejabat Finas, Ulu Kelang baru-baru ini, filem ini telah turut dipertontonkan kepada tetamu jemputan. Ia langkah Finas untuk mempromosikan filem tempatan.

Followers