Pentas Hidup: Arie Wibowo meninggal

Arie Wibowo meninggal


Masih ingatkah dengan lagu-lagu pop

Indonesia yang popular pada tahun 80-an seperti Madu Dan Racun dan Singkong Dan Keju nyanyian kumpulan Bill & Brod?
Pasti lagu itu masih diingati kerana ia sangat popular pada masa itu.

Semalam penyanyi utamanya, Arie Wibowo sudah meninggal dunia kerana sesak nafas secara tiba-tiba akibat serangan jantung sekitar pukul 9.00 malam, sehari sebelum menyambut ulang tahun yang ke-59.

Che Li terkejut juga bila nampak pesanan Blackberry Mesenger (BBM) beberapa teman di Indonesia yang mengkhabarkannya.

Dua jam sebelum meninggal, Arie dikatakan mengadu mengalami sesak di bagian dada. Arie memberitahu temannya, Leo Manurung yang dia rasa seperti masuk angin semasa sedang bermain gitar bersama temannya itu.


Apabila sesak nafasnya tidak lega, Arie dibawa ke Rumah Sakit Islam Cempaka Putih, Jakarta Barat sebelum disahkan menghembuskan nafas terakhir sejam setelah dimasukkan ke unit rawatan rapi hospital itu.

Jenazah dijadualkan dikebumikan di Taman Pemakaman Umum Alkamal, Kedoya selepas solat Jumaat hari ini.

Bill & Brod juga sangat popular di Malaysia dan pernah dibawa mempromosikan album semasa nama kumpulan itu memuncak pertengahan tahun 1980-an. Imejnya yang sering berkaca mata dan bertopi menjadi identiti sejak zaman remaja sehingga ke akhir hayat.

Selain dua buah lagu popular itu Arie juga turut mempopularkan lagu-lagu Anak Singkong, Kaget, Mutiara, Tertawalah, Walau Sekejap, Seraut Wajah Sendu, Cinta Kita, Resah, Kemerdekaan Bukan Akhir Dari Perjuangan, Astaga, Kodok Pun Ikut Bernyanyi, Cincin Di Jari Manismu dan banyak lagi.

Difahamkan Arie sedang mempersiapkan diri untuk kembali masuk studio untuk rakaman album baru. Mungkin sudah ada beberapa lagu yang disiapkannya tetapi hasratnya tidak kesampaian apabila meninggal dunia secara tiba-tiba.

Arie masih aktif berkarya malah masih memenuhi undangan mengadakan persembahan.

Pada 8 April lalu allahyarham muncul bersama-sama Ahmad Albar, Odie Agam dan jelly Tobing di Medan apabila diundang mengadakan persembahan berkonsep nostalgia di sana.

"Bapa kali terakhir menyanyi bersama kumpulan J-Rock. Bapa juga masih mencipta lagu," kata Desy, salah seorang anak allahyarham. Arie meninggalkan dua orang isteri, iaitu Tuti dan Anne, serta tujuh orang anak.

Followers