Pentas Hidup: Pemilihan Aznil Untuk Naikkan Rating AF9

Pemilihan Aznil Untuk Naikkan Rating AF9


Kembali mengemudi program realiti paling popular, Akademi Fantasia musim ke-9 selepas tiga musim berehat daripada mengacarakan program itu, Aznil Nawawi kini kembali beraksi di pentas AF9, bermula 2 April ini.

Rungsing dihujani dengan pelbagai spekulasi apabila menerima tawaran untuk kembali pengacarakan program ini, Aznil juga menolak dakwaan kehadirannya dalam AF9, adalah satu tindakan Astro untuk menaikkan rating penyiaran mereka dalam sepanjang konsert kali ini.

"Pada saya tidak timbul soal rating, pengacara-pengacara sebelum ini juga telah melakukan tugas mereka dengan begitu baik sekali dan dengan pelbagai kelainan.

"Jimmy membawa AF menjadi lebih muda, Datuk AC Mizal pula dengan lawak-lawaknya dan Sarimah Ibrahim melakukan yang terbaik dan penuh gaya cita rasa wanita.

"Walaupun tidak mengacarakan program ini selama tiga musim, tapi AF tetap dalam hati. Saya yang memulakan AF, jadi saya teruja untuk melakukannya buat kali terakhir memandang ini adalah musim terakhir program ini.

"Ramai yang akan merindui program ini, jadi sebelum ia terus dikenang dan dirindui oleh peminat selepas ini, saya berhasrat untuk mengembalikan semua nostalgia perjalanan AF dari musim pertama hinggalah kelapan," jelas Aznil.



Merancang kelainan

Tidak ada siapa mampu menyangkal kebolehan Aznil dalam mengacarakan setiap program tidak kiralah ia berbentuk serius mahupun santai. Namun, jika lima musim AF terawal dahulu Aznil begitu verstail dalam mengemudi perjalanan program itu, adakah sekarang ini dia sudah bersedia untuk melakukanya semula?

"Daripada AF pertama sehingga kelima, saya tidak pernah merancang apa yang akan dilakukan di atas pentas. Segala rasa sedih, gembira, teruja dan sebagainya adalah lahir dalam hati saya sendiri sewaktu program itu berlangsung.

"Untuk musim ini juga begitu, tapi mungkin ada bahagian lawak-lawak yang sudah tidak boleh diterima oleh penonton lagi, dan ia sudah tidak dianggap lucu, jadi saya perlu berhati-hati dalam memilih kata-kata yang sesuai," luahnya.

Followers